Wednesday 29 December 2010

Arahan Pemangku Raja

Sebaik sahaja kenderaan yang dinaiki oleh Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan ditahan dan diserbu oleh anggota polis , kenderaan yang membawa Baginda berdua dibawa ke HUSM Kubang Kerian yang terletak tidak jauh dari istana.

Setibanya disana Raja Perempuan telah diarah keluar dengan kasar dan Sultan Ismail Petra diturunkan oleh Dr Amir iaitu seorang doktor dari ATM. Turut sama dalam kenderaan itu ialah Dr Lim dari Hospital Kota Bharu.

Dr Lim menolak Tuanku dengan kerusi roda khas masuk ke lobi dan menuju ke lif. Manakala Dr Amir pula mengawasi keselamatan Raja Perempuan.

Raja Perempuan telah dicegah oleh beberapa anggota UTK untuk terus mengikuti Tuanku dan berlaku tolak menolak,tetapi dengan bantuan Dr Amir dan Dr Lim akhirnya Raja Perempuan dapat juga masuk ke dalam lif bersama-sama Tuanku.

Tiba di tingkat lapan, Raja Perempuan sekali lagi dihalang secara keras oleh UTK dan anggota polis yang memakai uniform dan pakaian awam dari menemani Tuanku.

Pada masa itu jelas kelihatan anggota-anggota UTK seolah-olah membuat Raja Perempuan sebagai musuh. Arahan siapa ?

Raja Perempuan dan Dr Amir ditahan dalam sebuah bilik. Raja Perempuan berulang kali bertanya kepada mengapa polis melakukan semua itu terhadap Baginda dan Tuanku. Jawapan yang diberikan adalah 'Arahan Pemangku Raja'.

Lalu Raja Perempuan menghubungi Pemangku Raja , tetapi usaha itu gagal.

Lebih kurang jam 8 malam, Raja Perempuan mengajak Dr Amir pulang ke istana kerana Baginda hendak menunaikan solat maghrib. Dr Amir memandu sendiri kenderaan dan membawa Raja Perempuan pulang ke istana.

Selesai solat maghrib dan isyak, Raja Perempuan mengajak Dr Amir kembali ke hospital. Apabila sampai di hospital sekali lagi Raja Perempuan dan Dr Amir dihalang memasuki Wad Di Raja. Dr Amir berusaha untuk masuk kerana beliau membawa ubat-ubatan Tuanku dan perlu berbincang dengan doktor yang sedang merawat Tuanku tentang rawatan yang dijalankan sebelum itu.

Akhirnya Dr Amir dibenarkan masuk dan Tuanku kelihatan sedih serta trauma. Tuanku memberitahu Dr Amir berulangkali supaya membawa Baginda pulang ke istana. Baginda juga mengadu wad tersebut panas dan tidak selesa.

Selepas itu Raja Perempuan dibenarkan masuk ke wad Tuanku. Tuanku begitu sedih sekali dan menitis air mata sebaik sahaja melihat Raja Perempuan. Begitu juga dengan Raja Perempuan yang turut bersedih.

Pada masa itu terdapat beberapa jururawat dalam bilik berkenaan yang turut sama menitiskan air mata apabila melihat Sultan dan Raja Perempuan mereka bersedih.

Tuanku bertanya kepada Raja Perempuan kenapa polis melakukan semua itu terhadap Baginda sedangkan Baginda tidak pernah menganiaya orang lain termasuklah anggota polis. Tuanku meminta Raja Perempuan membawanya pulang ke Istana.

Dengan linangan air mata Raja Perempuan meminta jururawat mengangkat Tuanku untuk diletakkan diatas kerusi roda dan disorong keluar dari Wad Di Raja untuk pulang ke istana.

Sampai di pintu luar Tuanku dan Raja Perempuan oleh dihalang anggota polis untuk pulang dengan mengunci pintu atas arahan Pemangku Raja. Berlaku tolak menolak pada masa tersebut. Dalam kekalutan itu Raja Perempuan telah ditampar di muka oleh seorang wanita.

Selepas itu Raja Perempuan ditarik keluar secara paksa oleh anggota polis wanita yang berpakaian awam. Pada masa itu terdapat kesan lebam dan darah pada tangan dan lengan Baginda.

Tuanku pula telah disorong semula ke wad dan Baginda meronta-ronta meminta untuk pulang ke istana sambil memanggil Raja Perempuan.

Keadaan kembali tenang dan Raja Perempuan telah dihalang untuk masuk kembali ke wad Tuanku.

Walaupun sebagai seorang Raja, Raja Perempuan tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri disaat-saat suami sedang sakit. Baginda boleh memilih jalan senang iaitu pulang sahaja ke Istana.

Setelah dihalang masuk ke bilik Tuanku, Raja Perempuan tiada pilihan. Baginda duduk dilantai di depan wad berkenaan. Ini telah mencemarkan reputasi Intitusi Raja Melayu.

Raja Perempuan betul-betul berada dalam keadaan sedih dan letih pada waktu itu. Baginda meminta Dr Amir membelikan air untuknya. Lalu Dr Amir ditemani oleh dua orang kakitangan hospital pergi ke sebuah kedai 24 jam berhampiran hospital dan membeli minuman untuk Baginda.

Baginda minum minuman tersebut sambil duduk bertimpuh dilantai.

Mungkin berita Raja Perempuan duduk di lantai telah sampai ke pengetahuan Pemangku Raja. Pada jam 1230 tengah malam Puteri Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah datang ke hospital dan berjumpa ibunya yang sedang duduk di lantai menyampaikan pesan dari Pemangku Raja.

Katanya, Pemangku Raja hanya akan membenarkan ibunya masuk jika Baginda berjanji untuk tidak membawa Tuanku pulang ke istana dan Tengku Amalin mesti menjadi penjamin bagi kes ini.

Pada jam 1 pagi Raja Perempuan dibenarkan untuk masuk kedalam wad Tuanku. Selepas masuk Raja Perempuan tidak keluar-keluar dari wad itu kerana bimbang Baginda tidak dibenarkan masuk semula jika keluar sedangkan Baginda perlu menjalankan tugasnya sebagai isteri disaat suami sedang sakit.

Begitulah malangnya nasib Sultan dan Raja Perempuan Kelantan. Baginda berdua diperlakukan sedemikian rupa oleh anaknya sendiri. Semuanya kerana si anak tidak bersabar untuk ditabalkan sebagai Sultan.

Tidak keterlaluan untuk rakyat mengatakan orang yang ditabalkan sebagai Sultan Kelantan sekarang ini adalah anak derhaka. Lebih malang lagi sebuah kerajaan islam sanggup menabalkan anak derhaka sebagai seorang Sultan.

No comments: