Wednesday 29 December 2010

Arahan Pemangku Raja

Sebaik sahaja kenderaan yang dinaiki oleh Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan ditahan dan diserbu oleh anggota polis , kenderaan yang membawa Baginda berdua dibawa ke HUSM Kubang Kerian yang terletak tidak jauh dari istana.

Setibanya disana Raja Perempuan telah diarah keluar dengan kasar dan Sultan Ismail Petra diturunkan oleh Dr Amir iaitu seorang doktor dari ATM. Turut sama dalam kenderaan itu ialah Dr Lim dari Hospital Kota Bharu.

Dr Lim menolak Tuanku dengan kerusi roda khas masuk ke lobi dan menuju ke lif. Manakala Dr Amir pula mengawasi keselamatan Raja Perempuan.

Raja Perempuan telah dicegah oleh beberapa anggota UTK untuk terus mengikuti Tuanku dan berlaku tolak menolak,tetapi dengan bantuan Dr Amir dan Dr Lim akhirnya Raja Perempuan dapat juga masuk ke dalam lif bersama-sama Tuanku.

Tiba di tingkat lapan, Raja Perempuan sekali lagi dihalang secara keras oleh UTK dan anggota polis yang memakai uniform dan pakaian awam dari menemani Tuanku.

Pada masa itu jelas kelihatan anggota-anggota UTK seolah-olah membuat Raja Perempuan sebagai musuh. Arahan siapa ?

Raja Perempuan dan Dr Amir ditahan dalam sebuah bilik. Raja Perempuan berulang kali bertanya kepada mengapa polis melakukan semua itu terhadap Baginda dan Tuanku. Jawapan yang diberikan adalah 'Arahan Pemangku Raja'.

Lalu Raja Perempuan menghubungi Pemangku Raja , tetapi usaha itu gagal.

Lebih kurang jam 8 malam, Raja Perempuan mengajak Dr Amir pulang ke istana kerana Baginda hendak menunaikan solat maghrib. Dr Amir memandu sendiri kenderaan dan membawa Raja Perempuan pulang ke istana.

Selesai solat maghrib dan isyak, Raja Perempuan mengajak Dr Amir kembali ke hospital. Apabila sampai di hospital sekali lagi Raja Perempuan dan Dr Amir dihalang memasuki Wad Di Raja. Dr Amir berusaha untuk masuk kerana beliau membawa ubat-ubatan Tuanku dan perlu berbincang dengan doktor yang sedang merawat Tuanku tentang rawatan yang dijalankan sebelum itu.

Akhirnya Dr Amir dibenarkan masuk dan Tuanku kelihatan sedih serta trauma. Tuanku memberitahu Dr Amir berulangkali supaya membawa Baginda pulang ke istana. Baginda juga mengadu wad tersebut panas dan tidak selesa.

Selepas itu Raja Perempuan dibenarkan masuk ke wad Tuanku. Tuanku begitu sedih sekali dan menitis air mata sebaik sahaja melihat Raja Perempuan. Begitu juga dengan Raja Perempuan yang turut bersedih.

Pada masa itu terdapat beberapa jururawat dalam bilik berkenaan yang turut sama menitiskan air mata apabila melihat Sultan dan Raja Perempuan mereka bersedih.

Tuanku bertanya kepada Raja Perempuan kenapa polis melakukan semua itu terhadap Baginda sedangkan Baginda tidak pernah menganiaya orang lain termasuklah anggota polis. Tuanku meminta Raja Perempuan membawanya pulang ke Istana.

Dengan linangan air mata Raja Perempuan meminta jururawat mengangkat Tuanku untuk diletakkan diatas kerusi roda dan disorong keluar dari Wad Di Raja untuk pulang ke istana.

Sampai di pintu luar Tuanku dan Raja Perempuan oleh dihalang anggota polis untuk pulang dengan mengunci pintu atas arahan Pemangku Raja. Berlaku tolak menolak pada masa tersebut. Dalam kekalutan itu Raja Perempuan telah ditampar di muka oleh seorang wanita.

Selepas itu Raja Perempuan ditarik keluar secara paksa oleh anggota polis wanita yang berpakaian awam. Pada masa itu terdapat kesan lebam dan darah pada tangan dan lengan Baginda.

Tuanku pula telah disorong semula ke wad dan Baginda meronta-ronta meminta untuk pulang ke istana sambil memanggil Raja Perempuan.

Keadaan kembali tenang dan Raja Perempuan telah dihalang untuk masuk kembali ke wad Tuanku.

Walaupun sebagai seorang Raja, Raja Perempuan tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri disaat-saat suami sedang sakit. Baginda boleh memilih jalan senang iaitu pulang sahaja ke Istana.

Setelah dihalang masuk ke bilik Tuanku, Raja Perempuan tiada pilihan. Baginda duduk dilantai di depan wad berkenaan. Ini telah mencemarkan reputasi Intitusi Raja Melayu.

Raja Perempuan betul-betul berada dalam keadaan sedih dan letih pada waktu itu. Baginda meminta Dr Amir membelikan air untuknya. Lalu Dr Amir ditemani oleh dua orang kakitangan hospital pergi ke sebuah kedai 24 jam berhampiran hospital dan membeli minuman untuk Baginda.

Baginda minum minuman tersebut sambil duduk bertimpuh dilantai.

Mungkin berita Raja Perempuan duduk di lantai telah sampai ke pengetahuan Pemangku Raja. Pada jam 1230 tengah malam Puteri Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah datang ke hospital dan berjumpa ibunya yang sedang duduk di lantai menyampaikan pesan dari Pemangku Raja.

Katanya, Pemangku Raja hanya akan membenarkan ibunya masuk jika Baginda berjanji untuk tidak membawa Tuanku pulang ke istana dan Tengku Amalin mesti menjadi penjamin bagi kes ini.

Pada jam 1 pagi Raja Perempuan dibenarkan untuk masuk kedalam wad Tuanku. Selepas masuk Raja Perempuan tidak keluar-keluar dari wad itu kerana bimbang Baginda tidak dibenarkan masuk semula jika keluar sedangkan Baginda perlu menjalankan tugasnya sebagai isteri disaat suami sedang sakit.

Begitulah malangnya nasib Sultan dan Raja Perempuan Kelantan. Baginda berdua diperlakukan sedemikian rupa oleh anaknya sendiri. Semuanya kerana si anak tidak bersabar untuk ditabalkan sebagai Sultan.

Tidak keterlaluan untuk rakyat mengatakan orang yang ditabalkan sebagai Sultan Kelantan sekarang ini adalah anak derhaka. Lebih malang lagi sebuah kerajaan islam sanggup menabalkan anak derhaka sebagai seorang Sultan.

Monday 27 December 2010

Serbuan ke atas Sultan Kelantan



Video tersebut menunjukkan pasukan unit tindakan khas menghalang dan menyerbu kenderaan yang dinaki oleh Sultan Kelantan serta Raja Perempuan.

Kejadian berlaku pada 04 Mei 2010 semasa Baginda dan rombongan dalam perjalan untuk ke lapangan terbang bagi menaiki pesawat ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Singapura untuk menjalani rawatan susulan.

Pada peringkat awal sepatutnya Tuanku berangkat ke Singapura dengan menggunakan pesawat khas kerajaan yang akan membawa baginda dari Kota Bharu terus ke Singapura.

Bagaimanapun pesawat khas tersebut tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Kota Bharu untuk tujuan tersebut atas arahan Pemangku Raja. Dua kali usaha tersebut digagalkan.

Setelah tiada pilihan, maka keputusan telah dibuat agar Baginda menaiki pesawat MAS dari Kota Bharu ke KLIA dan menyambung penerbangan ke Singapura selepas itu.

Keseluruhan perjalanan tersebut akan memakan masa lebih lima jam dari Kota Bharu sehingga tiba di Singapura berbanding menggunakan pesawat khas yang hanya memakan masa satu jam lebih sahaja.

Bagaimanapun hajat untuk mendapatkan rawatan susulan di Singapura tidak kesampaian, apabila Tuanku disekat oleh pasukan UTK polis sebaik sahaja keluar dari Istana.

Tuanku dan Raja Perempuan dilakukan seolah-olah seperti penjenayah. Selepas itu kenderaan yang membawa Baginda di bawa ke Hospital Universiti Kubang Kerian.

Mengikut anggota-anggota polis yang bertugas mereka terpaksa lakukan semua itu atas arahan Pemangku Raja malah ada anggota yang menangis sambil meminta maaf kepada Tuanku dan Raja Perempuan kerana terpaksa lakukan semua itu.

Sebab utama Pemangku Raja menghalang ayahandanya berangkat menjalani rawatan susulan di Singapura kerana tidak sabar untuk menaiki takhta.

Pemangku Raja mahukan ayahandanya diperiksa oleh doktor-doktor tempatan dan mengeluarkan laporan perubatan yang mengatakan Baginda sudah hilang upaya dan tidak mampu memerintah lagi.

Laporan perubatan doktor dari Singapura tidak diiktiraf oleh kerajaan kita.

Apabila laporan doktor tempatan dikeluarkan seperti kehendak Pemangku Raja maka laporan itu akan digunakan untuk membolehkan beliau menaiki takhta.

Tindakan polis menyerbu dan melarikan Sultan ke HUSM telah menimbulkan kemarahan rakyat. Rakyat marah kepada polis sedangkan rakyat tidak tahu perkara sebenar.

Sebenarnya dalam hal ini polis tidak boleh dipersalahkan. Polis menjalankan tugas sepertimana yang diarahkan oleh Pemangku Raja.

Sebab itu dalam hal berkenaan Pemangku Raja tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sepatutnya sebagai anak beliau yang patut ke depan dan marah kepada polis kerana melakukan sedemikian rupa kepada ibu bapanya.

Macamana beliau nak marahkan kepada polis, kerana itu arahannya.

Jadi, rakyat Kelantan jangan marahkan polis dalam tindakan tersebut. Mereka hanya menjalankan tugas.

Pemangku Raja anda yang 'alim' dan 'waruk' perlu bertanggungjawab atas perkara berkenaan.

Saturday 25 December 2010

Macam budak-budak

Rakyat Kelantan masih boleh bersabar apabila darjah kebesaran Ibrahim Ali ditarik balik walaupun ada kedengaran sosek-sosek.

Rakyat mula membuat pusingan 90 darjah apabila darjah kebesaran ayahanda saudara kepada Pemangku Raja , Tengku Razaleigh Hamzah ditarik balik.

Rakyat menjadi marah dan ada yang berkata macam budak-budak. Sikit-sikit nak tarik pingat.

Entah berapa ramai lagi yang bakal ditarik. Satu hari nanti mungkin penulis ruangan ini juga akan ditarik pingatnya kerana penulis juga ada pingat.

Ternyata tindakan menarik pingat Tengku Razaleigh satu keputusan yang sangat-sangat tidak popular dan membangkitkan kemarahan rakyat.

Tengku Razaleigh adalah negarawan yang dihormati oleh pelbagai lapisan rakyat dan dalam masa yang sama beliau juga adalah kerabat Kelantan.

Sekarang rakyat telah berkata, semua orang yang rapat atau bersimpati dengan Sultan Ismail Petra akan menjadi musuh kepada anakandanya.

Tengku Razaleigh dalam kenyataannya berkata beliau tidak hairan dengan penarikan pingatnya, kerana baginya perkara itu amat kecil sedangkan Sultan (bapa) sendiri pun boleh dibuang.

Sudahlah, insaflah, kembalilah ke pangkal jalan. Masih ada ruang untuk memperbaiki kesilapan.

Jika hendak kuasa sekali pun bersabarlah. Jangan terlalu rakus sehingga ibu bapa pun dibuat musuh.

Tidak guna kita berlagak alim dan mesra di depan rakyat, tetapi ibu bapa dibuat seperti kain buruk. Apa lagi disaat bapa sedang sakit.

Luang-luangkanlah masa untuk melawat bapa yang sedang sakit. Khabarnya sudah berbulan-bulan tidak berjumpa ibu bapa.

Di hari raya tidak jumpa ibu bapa, nak ke Mekah pun tidak berjumpa ibu bapa.

Apakah itu seorang anak yang baik ?

Thursday 23 December 2010

Penarikan pingat Ibrahim Ali

Pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada Ibrahim Ali oleh Sultan Ismail Petra suatu masa dulu telah ditarik balik oleh Pemangku Sultan Kelantan pada bulan oktober lepas.

Pingat itu ditarik beberapa hari selepas Ibrahim mengadap Sultan Ismail Petra bagi bertanya khabar tentang kesihatan Tuanku.

Bagaimanapun alasan penarikan balik pingat tersebut tidak dinyatakan secara jelas oleh pihak istana.

Dari cakap-cakap kedai kopi yang kedengaran pingat Ibrahim ditarik balik kerana beliau memberitahu kepada pemberita selepas pertemuan itu bahawa kesihatan Sultan Ismail bertambah baik dan beliau dapat bercakap dengan baik dengan Tuanku.

Benarkah itulah yang menjadi punca kemarahan Pemangku Raja ?

Sepatutnya sebagai seorang anak yang soleh dan beriman Pemangku Raja gembira apabila berita ayahandanya semakin sembuh disebarkan.

Pemangku Raja pernah menjadi iman solat hajat di Stadium Sultan Mohamad IV bagi mendoakan kesihatan ayahandanya.

Yang membuatkan rakyat keliru ialah mengapa pula Pemangku Raja tarik pingat Ibrahim Ali apabila beliau menghebahkan ayahandanya semakin sihat.

Sepatutnya Pemangku Raja gembira dengan berita itu kerana keberkatan solat hajat yang diimankan oleh anak boleh membuatkan ayahnya semakin sihat.

Perkara inilah yang menimbulkan kekeliruan dan keresahan kepada rakyat hingga membuatkan rakyat telah mula membuka mulut di kedai-kedai kopi dan ditangga-tangga masjid di negeri Kelantan.

Populariti Pemangku Raja telah terjejas dalam kes penarikan balik pingat Ibrahim Ali.

Itulah hakikat yang harus diterima.

Tuesday 21 December 2010

Ada pihak terkejut

Ada pihak yang terkejut dengan kelahiran blog ini. Tidak perlu terkejut. Inilah yang dinamakan kuasa rakyat.

Rakyat sudah muak dan bosan dengan apa yang terjadi. Sekarang giliran rakyat pula yang bertindak.

Tindakan yang dilakukan ini bukan untuk menghina raja, tetapi untuk memertabatkan intitusi beraja yang ada di Malaysia dan menyedarkan orang yang melakukan kesilapan.

Bangsa melayu yang dipenuhi dengan adat dan ketuanannya selama ini sedikit sebanyak telah tercalar.

Apa lagi calar tersebut dilakukan orang yang sepatutnya menjaga bangsa melayu.

Bangsa-bangsa lain yang sentiasa anti melayu bertepuk tangan melihat situasi ini.

Jangan salahkan mereka, salahkan diri kita sendiri kerana kita yang mencipta masalah.

Apa ertinya hidup ini jika ibu bapa tidak bernilai dalam hidup kita.

Sunday 19 December 2010

Sultan Ismail Petra masih sah sebagai Sultan



Imej diatas adalah pesanan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan , Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Baginda telah mengeluarkan kenyataan itu bagi memberitahu kepada seluruh rakyat dan dunia bahawa Baginda adalah Sultan Kelantan yang masih sah.

Petikan kata-kata Tengku Razaleigh Hamzah

Kalaulah keadaan yang berlaku di Kelantan itu, berlaku di mana-mana sahaja, saya rasa, boleh berlaku huru-hara negara kita. Kalau raja boleh dibuang dengan senang dan ini pula dibuang oleh orang di dalam negeri berkenaan, kerana dia memangku dan disifatkan ada kuasa seperti raja juga maka dibuang raja yang ada walaupun bapa, huru hara. Tiada siapa yang akan kekal menjadi raja.

Begitulah teruknya gambaran yang cuba diberikan oleh Ku Li berhubung apa yang terjadi di Kelantan muktakhir ini.

Perlembagaan negara telah menetapkan tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang Sultan diganti.

  • Sultan mangkat
  • Sultan berhenti dengan sukarela
  • Sultan meninggalkan negeri yang diperintahnya selama 12 bulan tanpa alasan yang munasabah.
Dalam kes yang berlaku di Kelantan, tidak ada satu pun dari tiga sebab diatas yang boleh menyebabkan Sultan Ismail Petra diganti.

  • Sultan Ismail Petra masih ada usia sehingga kini
  • Sultan Ismail tidak pernah mengumumkan meletak jawatan atau berundur secara sukarela dan menyerahkan jawatan kepada penggantinya.
  • Sultan Ismail tidak meninggalkan negeri selama 12 bulan dan sekiranya Baginda meninggalkan negeri melebihi 12 bulan sekali pun tidak menjadi masalah kerana ada alasan yang munasabah. Semua rakyat tahu Baginda meninggalkan negeri untuk tujuan perubatan.
Tiga perkara diatas cukup jelas untuk membuktikan bahawa Sultan Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah.

Saranan Tengku Razaleigh supaya Majlis Raja-Raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan jangan dipandang sebelah mata.

Kasihanilah kepada Sultan Ismail Petra.


Saturday 18 December 2010

Hormatilah perlembagaan dan ibu bapa

Raja adalah benteng terakhir orang-orang melayu dan orang islam sekiranya apa-apa berlaku dalam negara ini.

Disaat iklim politik negara yang tidak menentu sekarang saban hari ada sahaja ancaman yang berlaku kepada bangsa melayu dan agama islam.

Rakyat berhempas pulas mempertahankan hak-hak melayu termasuklah raja-raja melayu. Rakyat sentiasa menghormati dan meletak raja diatas.

Tetapi sayangnya ada raja pula yang tidak pandai menjaga kedudukan mereka dan seperti tidak menghargai pengorbanan rakyat. Raja tidak menjaga kedudukan mereka seperti sepatutnya.

Lihat contoh yang berlaku di sebuah negeri. Apa yang berlaku sungguh memalukan.

Gegak gempita yang berlanjutan disana seolah-olah tiada penghujungnya.

Perkara ini tidak akan berlaku jika perlembagaan dipatuhi dan orang tua dihormati.

Perlembagaan negara telah ditetapkan semenjak zaman British pada tahun 1948.

Jika tidak mahu menghormati perlembagaan yang dibuat oleh British sekalipun, hormatilah kepada peraturan Allah yang menetapkan ibu bapa mesti dihormati dan ditaati.

Setinggi mana sekali pun amalan kita, selabuh mana jubah kita, seputih mana kopiah kita dan serendah mana kita meletak diri kita sekali pun itu semua tidak bermakna jika ibu bapa tidak dihormati.

Dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu tamak untuk mengejar sesuatu. Tidak akan lari gunung dikejar. Jika sesuatu perkara sudah tersurat untuk kita, maka ia tetap menjadi milik kita suatu hari nanti.

Apa guna kita mengambil hak orang jika tanpa izinnya. Hidup kita tidak akan aman dan tenteram. Apatah lagi itu hak ibu bapa kita.